Tuesday 5 November 2013

SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1435


1 Muharram, genap 2 tahun arwah atok atan meninggalkan aku sekeluarga. Kadang jua terasa rindu dibenak akan telatah dan suara arwah. Hanya kenangan terus bersemadi dijiwa walaupun arwah sudah tiada didepan mata. Semoga arwah bahagia di sana dan ditempatkan bersama golongan orang-orang yang telah dijanjikan syurga dan juga dari kalangan orang-orang yang soleh.....Al-Fatihah....

Kepada kawan-kawan semua Selamat tahun baru hijrah 1435. Semoga tahun baru ini memberi semangat baru untuk kita berubah kearah yang lebih baik berbanding sebelumnya. Semoga kita terus diberi kekuatan untuk terus berusaha dan mencari keredhaan Allah hendaknya. Kehidupan adalah persinggahan yang singkat, jangan dibazirkan dan rebut segala yang terbaik untuk kita...



Tuesday 15 October 2013

KEK RED VELVET TAK JADI OOO...

Semalam aku cuba buat oreo cheese cake dan juga red velvet cake untuk juadah Aidiladha...Alhamdulillah oreo cheese cake tu bolehlah dikatakan menjadi. Yang tak jadi adalah red velvet cake. Arghhh kecewa sungguh...Kek aku tu entahlah, bantat kot...semua orang tak nak makan. Adik bongsu je sanggup makan tapi bukan makan cake. Dia makan cream cheese frosting tu je. Aku pun sama, 2x5 je dengan adik aku. Last2 red velvet cake tu pun masuk tong sampah, huhu....Nampaknya cubaan membuat red velvet cake kali nie gagal dan rasanya aku takda hati dah nak buat lagi dalam masa terdekat nie...

pic : google

Alangkah bahagianya jikalau red velvet cake aku jadi seperti pic dekat atas tu. Kena belajar lagi nampaknya...

Salam Aidiladha buat semua...


Wednesday 9 October 2013

SEKADAR CORETAN RASA




lumrah kehidupan...
tak seindah yang kita fikirkan 
dan
 tak seindah yang kita idamkan
apa jua yang kita miliki & sayangi hari ini...
 tak selalu milik kita selamanya
kerana
 ada harga sebuah kehilangan yang harus kita bayar
namun
Allah itu maha pemurah lagi maha penyayang
ada pengganti disebalik kehilangan
yang pastinya ia lebih baik & terbaik dari sebelumnya
hilangnya sebentuk intan terciptanya segunung permata




Thursday 25 July 2013

MATA...HATI...

sempurna di mata hanyalah dusta
sempurna di hati lebih bererti
mata yang melihat tak pandai mentafsir
 apa yang tersirat disebalik yang tersurat
tetapi 
hati yang merasa
 mampu melihat sesuatu itu 
sama ada batu mahupun permata


Wednesday 24 July 2013

SAMBAL LEMAK BELIMBING BULUH DENGAN LOBAK ASIN

Hari nie aku nak kongsi resepi sambal lemak belimbing buluh dengan lobak asin. Bagi sesiapa yang dah jemu makan ikan dan ayam, korang bolehlah cuba resepi nie...


Bahan-bahan :
  • belimbing buluh -dipotong dua
  • lobak asin -dihiris kecil
  • lada kering,bawang merah,bawang putih,halia,kunyit -dikisar
  • ikan bilis tamban
  • bawang besar -dihiris
  • santan
  • garam dan perasa
* rendam lobak asin beberapa jam sebelum dimasak untuk hilangkan rasa masin *

Cara-cara :
  • Masukan belimbing buluh, lobak asin, ikan bilis dan bawang besar dalam periuk
  • Masukkan pula santan dan bahan yang dikisar, kacau sebati
  • Hidupkan api dan masak hingga mendidih. Jangan lupa letak garam dan perasa. Siap...



Wednesday 17 July 2013

WORDLESS WEDNESDAY # 7



Monday 15 July 2013

AKU MENGIDAM NAK MAKAN TELUR IKAN SEMBILANG...

Dah lama aku mengidam nak makan telur ikan sembilang. Mengalahkan orang mengandung pulak padahal kahwin pun tak lagi. Teruk betul tekak nie...huhu...

Susah betul nak cari telur ikan sembilang. Pergi pasar beli ikan sembilang tapi bila disiang ikan tu tak bertelur pulak. Pergi kedai makan pun kebanyakkan jual asam pedas ikan sembilang, tak pernah lagi jumpa kedai yang jual asam pedas telur ikan sembilang. Nak buat macam manakan, menunggu dan terus menunggu lah nampaknya. Ada rezeki dapatlah merasa telur ikan sembilang tu nanti. Teringin-teringin aku takde lah sampai tahap meroyan lagi. Takde lah pulak sampai nak masuk batu belah batu bertangkup macam Mak Tanjung tu...

Ehh korang makan ke telur ikan sembilang?? Ikan sembilang?? Kenal ke rupa ikan sembilang tu macam mana? haa..ntah-entah rupa ikan sembilang pun korang tak kenal. Aku pernah kompius suatu ketika dahulu. Kompius antara ikan sembilang dengan ikan keli. Rupa ikan sembilang je yang hampir sama dengan ikan keli tapi sebenarnya mereka nie berbeza. Dekat Johor aku selalu makan ikan sembilang, tak pernah makan ikan keli. Start makan ikan keli bila aku duduk Selangor. Tu pun sebab ingatkan ikan keli berlada tu ikan sembilang...huhu...

Stop bercerita pasal ikan sembilang. Sekejap lagi nak masuk waktu berbuka. Aku pun nak out dah...Oh sebelum tu nak bagitahu...hari nie aku buat lengkong santan perisa pandan...First time buat...alhamdulillah jadi... hehe...Actually buat sahur tadi, lepas tu terus simpan dalam peti sejuk. Berbuka sekejap lagi baru nak rasa. Harap-harap sedaplah, bolehlah lupakan telur ikan sembilang tu sekejap...


Selamat berbuka puasa dan selamat berterawikh kawan-kawan....


Thursday 11 July 2013

BILA TIBA RAMADHAN...


pic : google

Bila tiba Ramadhan macam sambutan pesta makanan pun ada. Tengok je kat bazar macam-macam ada... Semua juadah yang ingin dibeli terbentang didepan mata...Apapun yang penting amalan dibulan Ramadhan adalah niat kita. Niat betul insyaallah sempurnalah ibadah kita. Tak salah nak beli apa jua yang kita mahukan tapi janganlah sampai membazir dan kalau boleh bantulah golongan yang kurang bernasib baik dan yang lebih memerlukan...

p/s  Dulu kalau pergi bazar macam-macam nak. Sekarang insyaallah tak lagi kerana belajar daripada pengalaman lepas banyak terbuang daripada dimakan. Cukuplah sekadar apa yang ada daripada bertuhankan nafsu semata-mata...


Tuesday 9 July 2013

SALAM RAMADHAN 1434H




gembiranya hati saat Ramadhan tiba
syukur dipanjatkan buat yang maha kuasa
mudah-mudahan peroleh rahmat dan keampunan di bulan penuh mulia

salam Ramadhan buat kawan-kawan semua
semoga dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna

Thursday 4 July 2013

OPERASI BERJAYA

Entry hari nie merupakan kesinambungan daripada entry cik ti datang tanpa diundang tempoh hari. Sepanjang operasi memerangkap cik ti dijalankan, hanya 3 ekor cik ti berjaya ditangkap menggunakan perangkap jenis sangkar. 3 ekor nie pun dah cukup menghuru harakan hidup aku. Nie lah antara salah sekor cik ti yang berjaya aku tangkap menggunakan umpan kelapa bakar macam mak aku selalu buat.


Yang berjaya masuk sangkar 3 ekor, yang aku jumpa 6 ekor. 9 ekor semuanya, banyak gila. Macam kotor je rumah aku nie kan. Yang 6 ekor tu anak tikus. Aku jumpa masa selongkar kabinet dapur. Geli sangat-sangat bila tengok anak tikus yang masih merah dan lembik. Cepat betul diorang beranak pinak. Nasiblah tergerak hati nak selongkar kabinet dapur. Kalau tak memang membesar dengan sihatlah diorang dalam tu...

Tugas aku setakat pasang perangkap jelah. Bila dah masuk perangkap maka selesailah tugas aku. Bab-bab membunuh tikus nie aku bagi kat adik aku. Tak sanggup nak tengok. Walaupun geram, tapi bila tengok cik ti nak dijatuhkan hukuman mati tiba-tiba jadi kesian. Tak sanggup rasanya nak tengok adik aku rendam tikus tu dalam baldi yang penuh air. Nampak kejamkan...huhu...Tapi tulah cara yang abah aku selalu guna. Kini cara tu diwarisi adik aku. Like father like son, so tak boleh nak kata apa...


Tuesday 2 July 2013

KEMALANGAN MAUT

Malam tadi sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah aku sempat menyaksikan satu kemalangan maut. 2 buah motosikal bercantum menjadi sebuah arca seni sehingga tidak terbentuk rupa asalnya. Sedih rasanya bila menyaksikan sekujur tubuh ditutupi kain dengan darah merah pekat mengalir...Takziah buat ahli keluarga mangsa. Sesungguhnya ajal maut tak kenal usia, masa dan tempat. Sampai masanya kita yang masih hidup nie pun akan dijemput sama...Kejadian semalam masih bermain dibayangan mata. Kepada kawan-kawan semua, berhati-hatilah dan berdisplinlah ketika berada dijalan raya lebih-lebih lagi penunggang motosikal, jangan merempit dan jangan suka cilok mencilok...


p/s aku agak sibuk minggu nie, insyaallah ada masa aku akan ziarah ke blog anda semua...


Saturday 29 June 2013

FINAL PIALA FA 2013


Milik siapakah piala itu?

Johor Darul Takzim 
@
Kelantan 

Semuanya akan terjawab malam ini. Aku bukanlah fanatik sangat. Takdelah sampai tengok bola kat Stadium  Nasional Bukit Jalil tu pun. Hanya menunggu di depan tv je malam ni. Tak sabar rasanya. Harap-harap biarlah JDT menang, hadiah untuk Tengku Mahkota Johor sempena ulang tahun kelahiran dan juga rakyat Johor khususnya. Semoga JDT dan TRW menghadiahkan perlawanan yang hebat dan menarik. Semoga semuanya selamat dan tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku...

Luaskan kuasamu...all the best JDT for tonight final...

p/s: 2 pemain terbaik JDT bakal menerima ganjaran berbentuk kereta utiliti sukan (SUV) Audi Q7...Audi tu...untunglah...sapelah yang bertuah...


Wednesday 26 June 2013

SEDARLAH...

Islam kini pada nama...
kerana penganutnya mula alpa tentang segala amanah serta tanggungjawab kepada pencipta...

leka dengan hiburan dunia...
lupa tentang tuhan yang esa...
segala maksiat dilakukannya...
hidup penuh calitan dosa...
nyata terpesong tekad akidahnya...
dakyah dicanai musuh durjana...
muslim tinggal hanyalah nama...
terpalit dengan lumpur yang nyata kotor lagi bahaya...
tidak dikejar wangian syurga yang kekal abadi selamanya...

ayuh segera sebelum terlambat...
sedarkan diri dengan bertaubat...
hidup ini diambang akhirat...
pastikan hidup dalam barakat...

Sunday 23 June 2013

JEREBU

Sana sini jerebu...Masalah yang tiada hujungnya. Tiada penyelesaian yang sewajarnya kerana ia berterusan tanpa sebarang tindakan hemah. Waspada jarak penglihatan dan tahap kesihatan ketika ini...Gambar di bawah di ambil di kampung aku semalam, sekitar jam 11 pagi. Alhamdulillah hari nie ada tanda-tanda pengurangan berbanding semalam.

Friday 21 June 2013

TANGGUNJAWAB KITA

Apa yang perlu dilakukan ketika salah seorang ahli keluarga kita sedang nazak ataupun baru sahaja meninggal dunia. Mungkin ada di antara kita yang tahu apa yang perlu dilakukan. Mungkin juga ada yang tidak tahu dan mengharapkan orang yang lebih tua daripada kita melakukannya. So diharap perkongsian ini mungkin boleh dijadikan panduan untuk kita bersama...

Tanggungjawab keluarga kepada pesakit yang sedang nazak:
  • Mentalkinkan dengan kalimah Lailahaillallah
  • Membaca surah Yasin dan surah Al-Ra'du
  • Memakai bau-bauan dan wangian kepada pesakit
  • Titiskan air ke mulut, sapukan tuala basah dibibirnya, memberi minuman kepada pesakit
  • Mengiringkan badan pesakit sebelah kanan, mengadap kearah kiblat. Sekiranya sukar, iringkan ke arah kiblat dengan dialas kepala dengan bantal.
  • Menanggalkan gigi palsu dan segala barang-barang kemas dan perhiasan
  • Dipakaikan dengan pakain yang suci dan bersih
  • Diwudhu'kan
  • Memastikan orang yang hendak menziarahinya menutup aurat
  • Tidak membincangkan perkara-perkara keduniaan disisi pesakit yang sedang nazak
  • Bagi pelawat yang uzur Syarie dan yang tidak tahu membaca al-Quran hendaklah memperbanyakkan selawat, berzikir atau mendoakan orang yang sedang nazak
  • Menjauhkan dan meninggalkan segala perkara yang bertentangan syarak pada diri pesakit seperti susuk dan sebagainya.


Perkara yang perlu dilakukan oleh waris selepas kematian:
  • Sunat dipejamkan matanya
  • Dianduhkan dagunya supaya tidak terbuka
  • Didakapkan kedua tangannya seperti orang sembahyang
  • Diluruskan kedua belah kakinya
  • Diluruskan anggota badannya yang bengkok
  • Dibuka semua perhiasan seperti jam, barang kemas, gigi palsu dan sebagainya
  • Menyapu minyak disetiap sendi sambil desenamkan supaya lembut dan mudah dimandikan
  • Bersihkan badan si mati daripada najis dan kotoran dengan dilapkan dengan air bersih dan sebaik-baiknya dengan air suam bercampur Dettol
  • Disalinkan dengan pakain bersih
  • Diletakkan ditempat yang sesuai seperti katil atau tilam yang menghadap kiblat (kaki menghadap kiblat)
  • Meletakkan benda-benda yang sederhana berat di atas perut mayat agar perutnya tidak kembung seperti pisau lipat atau gunting kecil
  • Dibakar bau-bauan seperti setanggi untuk mengelak bau yang tidak enak dihidu oleh pelawat
  • Dibacakan ayat al-quran, yasin, tahlil dan doa kepada si mati
  • Ditutup si mati dengan kain bersih

Wednesday 19 June 2013

WORDLESS WEDNESDAY # 6




Sunday 16 June 2013

SARAPAN DI PAGI MINGGU

Hari nie rajin sikit aku buat sarapan pagi. Biasanya kalau dah buat sarapan pagi, lambat sikit nak masak untuk makan tengah hari. Kadang-kadang tak masak terus sebab lauk sarapan pagi boleh jadi lauk untuk makan tengah hari. Duduk berdua dengan adik, memang tak masak banyak sangat. 

Sarapan pagi  hari nie, bubur nasi kosong. Makan dengan lauk dalam pic dekat bawah. Sambal ketuk memang wajib ada...baru ada rasa pedas-pedas sikit, manis manis sikit, masin-masin sikit. Macam Qi  JJCM tak?? hehe...



Rasanya tengah hari nie memang aku tak masak kot. Dah kenyang makan makanan berat...Ohh yaa...sempena hari bapa nie aku nak mengucapkan selamat hari bapa kepada abah aku yang tercinta, En Zainal Abidin. Abah lah hero ku...Abahlah segala-galanya buatku...Tak lupa juga selamat hari bapa kepada semua yang bergelar bapa...

Wednesday 12 June 2013

WORDLESS WEDNESDAY # 5


pic : google


Tuesday 11 June 2013

DAH ADA TEMAN BARU


wahai bondaku...bondaku si ikan kaloi
timbullah bonda...ooh timbullah tunjukkan diri
nasi melukut dengan sayur keladi...nasi melukut sayur keladi
untuk bondaku di pagi hari...wahai bondaku ibu kandungku

Korang mesti pernah dengar lirik lagu tu kan. Alaaa...lagu nie dalam cerita lama bawang putih bawang merah  versi Malaysia, bukan bawang merah bawang putih versi Indonesia tu. Versi Indonesia aku tak tahu sangat sebab jarang tengok. Tak berapa minat sinentron-sinentron nie. Tapi...dalam tak minat tu ada jugaklah satu cerita Indonesia yang aku layan. Tajuk dia mutiara hati, ada budak comel nama Nabila. Lagu dalam cerita tu pun sedap didengar.

Sebenarnya aku bukan nak cerita pasal tu semua. Aku nak cerita pasal teman baru aku iaitu ikan kaloi. Sabtu lepas aku beli. Taklah mahal, 7 ringgit je se ekor. Aku beli 2 ekor. Bagi dia ada member. Beli yang murah-murah je. Takut nak beli yang mahal-mahal, kalau mati aku juga yang rugikan. Sebelum nie aku pernah bela ikan. Masa kat universiti aku bela ikan gapi. Berkenan tengok warna dia, ekor dia. Lepas tu ikan nie pun jenis yang senang nak bela sebab tak payah guna oksigen tambahan. Tu yang aku beli.

Aku pernah juga bela ikan flowerhorn. Ikan tu makcik bagi. Lama juga dia bersama aku. Daripada kecik aku bela sampailah besar sikit saiz dia. Tapi sayangnya mati juga mungkin disebabkan keracunan, tak pun disebabkan terlebih letak air anti klorin. Sebelum aku cuci akuarium elok je. Lepas aku cuci esoknya mati...huhu...

Aku pernah juga bela ikan oscar, warna hitam. Bela oscar pun mati jugak. Lepas tu aku bela ikan emas dan ikan kecik-kecik. Manja tau diorang nie nak-nak ikan emas. Ikan kecik-kecik mati sebab tersedut masuk dalam kipas. Ikan emas mati sebab entahlah...dah sampai hukum agaknya. Bila sekor start mati yang lain pun lama-lama mati jugak. Tak sampai setahun jangka hayat dia.

Awal tahun nie aku bela ikan koi dan ikan tiger. Ikan koi saiz kecil RM3 se ekor. Ikan tiger tak ingat harga berapa. Alhamdulillah masih hidup semuanya tapi hari Ahad hari tu dah tercedera. Kena belasah dengan ikan kaloi. Aku campurkan diorang dalam satu akuarium. Mula-mula elok je. Lepas tu, tengok-tengok ada yang dah hilang ekor.

Grrrr...jahat jugak ikan kaloi nie. Baru sehari dua dah tunjuk perangai gangster. Nak tak nak aku beli penghadang. Dah dipisahkan boleh pulak dia bergaduh sesama dia.  Nasib baik tak beli banyak-banyak. Kalau tak lagilah masalah. Sama spesies pun gaduh. Aku rasa ikan nie dua-dua jantan, tu yang nak gaduh je. Lepas nie kalau gaduh lagi kena beli akuarium kecik satu, duduklah sorang-sorang.

terpaksa pasang penghadang

tak sabar nak tunggu dia besar...

yang nie baik2 belaka tak pernah gaduh...

Best sebenarnya bela ikan. Boleh hilangkan penat dan tension. Yang tak best bila nak kena cuci akuarium...hehe..Tak boleh malas-malas. Nanti ada rezeki nak beli aksesori tambahan pulak. Suram je akuarium nie so kena bagi meriah sikit dengan aksesori tambahan.

Sunday 9 June 2013

SELAMAT DATANG SYAABAN


Pic : Google

Hari nie hari terakhir kita berada di bulan Rejab. Esok dah masuk bulan Syaaban. Masuknya bulan Syaaban menandakan semakin dekat kita menghampiri bulan Ramadhan, insyaallah...Sama-samalah kita meningkatkan amal ibadah dan memperbaiki diri kita...


Friday 7 June 2013

KESEDERHANAAN

Kadang-kadang aku teringin jugak untuk memiliki barangan mahal dan mewah. Bukan untuk tampak lebih hebat dan bergaya tetapi sebagai motivasi kerja. Yelah...dah penat bekerjakan, terubat juga hati tengok aset yang mampu dibeli dan secara tak langsung jadikan diri lebih bersemangat untuk mencari rezeki. Tidaklah sampai aku berbelanja berlebihan-lebihan sehingga perbelanjaan melebihi pendapatan. Sekadar berbelanja mengikut kemampuan sendiri. Kadang-kadang rambang mata juga, tapi kenalah pandai kawal dan menahan kehendak nafsu agar tidak berlebih-lebihan. 

Teringat lagi kata-kata prof dalam kelas dulu, hidup bukan mensyaratkan kita bersikap boros, melebih-lebih dengan apa yang kita ada dan pada masa yang sama bukanlah bermakna kita perlu bersikap terlalu kikir dan kedekut. Apa yang penting adalah besederhana. Kesederhanaan itu kunci kebahagiaan dan mendidik kita untuk bersyukur dengan segala nikmat kurniaannya serta memperingati mereka yang serba kekurangan. Macam tulah lebih kurang apa yang Prof aku sampaikan dulu...Ye Prof, akan kuingat kata-katamu itu, walaupun sesekali tewas juga dengan kehendak nafsu, nak-nak bila bulan Ramadhan. Hilang besederhana dalam membeli makanan. Apa yang nampak semua nak dimakan...huhu... 


Wednesday 5 June 2013

WORDLESS WEDNESDAY # 4



pic : google


Monday 3 June 2013

SAKIT GIGI DATANG MENYERANG


Pagi semalam aku dah start sakit gigi. Lepas tu hilang. Malam tadi sampailah sekarang nie sakit balik. Rasa nak demam pun ada. Nak kata ada lubang, aku tengok elok je gigi geraham aku nie. Tak tahulah kalau dah berlubang dan dah rosak dekat bahagian dalam...huhu...Daripada semalam aku makan ubat tahan sakit je...

Hari nie kerja dahlah bayak, nak bagi sepenuh perhatian tu memang tak. Nak bercakap banyak pun dah tak boleh, angguk-angguk geleng-geleng je. Nak pergi clinic?? tengoklah esok lusa. Kalau dah tak tertahan sangat terpaksalah pergi jugak. Takut weii nak pergi clinic gigi. Bau clinic tu je dah mengundang rasa tak suka. Kalau diikutkan memang dah lama aku tak jumpa doktor gigi. Zaman sekolah dulu last rasanya. Tu pun sebab doktor gigi datang sekolah. Memang dah tak dapat nak mengelak...

Pengalaman sakitnya cabut gigi masa kecik-kecik dulu membuatkan aku trauma nak pergi clinic walaupuan dah tua-tua begini. Hurmm...mintak-mintaklah gigi geraham aku nie cepat baik. Kalau boleh, aku memang tak nak pergi clinic gigi walaupun doktor tu sehensem Aron Ajiz...

Friday 31 May 2013

BERSEDIA MENGHADAPI MATI

pic: google

Jalan untuk menyelamatkan diri daripada azab kubur tebuka luas semasa manusia hidup di dunia. Jalan itu ialah zikrullah dan zikrulmaut iaitu sentiasa ingat kepada Allah s.w.t. dan sentiasa ingat kepada mati. Orang yang ingat kepada Allah s.w.t. akan sentiasa taat kepada suruhan dan meninggalkan larangannya, melakukan yang makruf dan meninggalkan yang mungkar serta sentiasa memohon ampun dan bertaubat kepada Allah s.w.t.

Ingatan yang berterusan kepada Allah s.w.t. diikuti ingatan kepada mati menjadikan kita sentiasa bersedia dan membuat persediaan untuk menghadapi kematian dan kehidupan selepas mati. Rasulullah s.a.w. menggalakkan umatnya mengingati mati, sabdanya :

Banyak-banyaklah kamu mengingati terputus kelazatan (hidup) iaitu mati (Rawahul Tarmizi )

Antara cara mengingati mati dan persediaan untuk menghadapinya :
  1. Menziarahi orang sakit yang menghadapi sakaratul maut
  2. Menziarahi kubur
  3. Ingat umur yang masih berbaki dan yang telah dilalui
  4. Ingat pada siksa kubur, huru hara kiamat dan azab neraka
  5. Ingat keseorangan di dalam kubur
  6. Meningkatkan amal soleh bagi meningkatkan takwa
  7. Memperbanyakkan sedekah dan amal jariah
  8. Mengawal runtunan nafsu amarah, tamak dan melampaui batas hukum Allah dan perikemanusiaan
  9. Sentiasa muhasabah diri, bertaubat dan meningkatkan amal soleh
  10. Berdoa kepada Allah semoga mudah menghadapi sakaratul maut
Sumber :  Sinar Jimit Sdn Bhd

Sekiranya berlaku kematian, selain daripada ziarah dan memberi ucapan takziah kita perlu menzahirkan raut wajah yang menggambarkan kesedihan seperti orang lain bersedih, tidak ketawa, mengurangkan perbualan, banyakkan berzikir, membaca al quran, berdoa untuk si mati serta bersedekah kepada anak-anak yang ditinggalkan. Realiti kini?? rasa sedih sudah tiada dikalangan mereka yang menziarahi jenazah sebaliknya perbualan dan gelak ketawa walaupuan semasa di tanah perkuburan...betul tak? renungan untuk aku dan juga kamu..

Thursday 30 May 2013

TAKDIR : TELADAN SIKAP YANG SALAH & BETUL


KISAH 1 : TERSERAHLAH PADA TAKDIR

Pada suatu malam setelah solat isyak Rasulullah s.a.w. masuk ke rumah Ali r.a. Pada waktu itu dilihatnya Saidina Ali sudah masuk tidur lebih awal, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda :

Alangkah baiknya kalau kamu bangun pada sebahagian waktu malam (untuk melakukan solat sunat). Saidina Ali r.a. menjawab, " Ya Rasulullah, diri kita semua dalam genggaman kekuasaan Allah. Jika berkehendak, maka dilimpahkan kerahmatannya. Dan jika dia berkehendak sebaliknya maka ditarik balik rahmat itu ". Mendengar jawapan itu Rasulullah s.a.w. kelihatan marah lalu keluar sambil memukul-mukul pehanya dan bersabda: sesungguhnya manusia itu amat banyak dalihnya.

KISAH 2 : SUDAH DITAKDIRKAN

Pada zaman pemerintahan Saidina Umar Bin Al Khatab r.a. terjadi satu kecurian dan usaha mengesan pencuri dilakukan dengan segera selepas menerima aduan. Tidak lama selepas itu pencuri dapat ditangkap dan dibicarakan.

Saidina Umar r.a. bertanya "mengapa kamu mencuri?" Pencuri itu berterus terang mengakui memang dia  yang mencuri dengan jawapan, "memang Allah telah mentakdir sedemikan ini ke atas diri saya." Saidina Umar r.a. berasa marah mendengar jawapan tersebut lalu menjatuhkan hukuman ke atas pencuri itu, "sebat pencuri ini 30 sebatan dengan cemati. Selepas itu potonglah tangannya."

Orang yang mengikuti perbicaraan itu bertanya, "mengapa hukuman yang dijatuhkan ke atas pencuri ini begitu berat?" Saidina Umar r.a. menjawab "Ya! itulah hukuman yang setimpal. Ia wajib dipotong tangannya kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah s.w.t"

KISAH 3 : MENGHINDARI TAKDIR DENGAN TAKDIR

Abu  Ubaidah Bin Al Jarah pernah bertanya kepada Saidina Umar Bin Al Khatab r.a. sewaktu Saidina Umar r.a. melarikan diri daripada wabak penyakit taun, katanya "mengapa engkau lari dari takdir Allah?" Saidina Umar r.a. menjawab, "betul saya melarikan diri dari takdir Allah untuk pergi kepada takdir Allah pula." Kisah ini menggambarkan bahawa Saidina Umar r.a. menyelamatkan diri dari takdir tibanya wabak penyakit dan mara bahaya dan pergi kepada takdir yang menjamin keselamatan dan kesihatan.

KISAH 4 : RASULULLAH S.A.W. TIDAK MENGALAH KEPADA SATU-SATU TAKDIR

Rasulullah s.a.w dan para sahabat tidak pasrah mengalah kepada satu-satu takdir dengan semangat yang pudar dan keyakinan yang luntur. Baginda tidak berdiam diri untuk tidak mengelakkan bahaya yang dihadapi seperti sikap orang yang lemah dan tidak memahami hakikat takdir Allah s.w.t.

Baginda berasa bertanggungjawab untuk mengubah keadaan dengan menyingkap rahsia disebalik takdir. Baginda berusaha, berjuang, berdoa dan bertawakal kepada Allah s.w.t.  bagi melaksanakan risalahnya iaitu menegakkan Islam dan membanteras kejahilan.

Baginda mendorong umatnya supaya berpindah daripada suatu takdir kepada takdir yang lain seperti takdir kemiskinan dilawan dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Kejahilan dilawan dengan ilmu pengetahuan. Penyakit dilawan dengan rawatan dan ubatan. Kekufuran dilawan dengan jihad. Selanjutnya berdoa kepada Allah s.w.t. supaya dihindari segala penyakit, kesusahan, kelemahan dan kemalasan.

Kejayaan baginda dan para sahabat menyebarkan dan menegakkan Islam adalah berbekalkan semangat tidak mengalah dan berserah pada takdir tanpa berusaha dan berdoa. Baginda sering mengingatkan umatnya agar tidak membuat tafsiran yang salah tentang takdir seperti hadis yang diriwayatkan oleh Jabir r.a., Rasulullah s.a.w bersabda : Akan ada pada akhir zaman satu golongan yang melakukan maksiat kemudian mereka berkata : Allah mentakdirkan perbuatan itu kita lakukan. Orang yang menentang pendapat mereka (yang salah) pada masa itu adalah bagaikan orang yang menghunus pedangnya pada jalan Allah.

Tuesday 28 May 2013

JAMBU GELAS

Korang tahu tak buah jambu gelas? Yang tak tahu takpe, boleh tengok pic dekat bawah nie.


Balik kampung hari tu aku dapat buah jambu gelas. Jiran sebelah rumah atok yang bagi. Dulu dekat rumah atok ada jugak pokok jambu gelas tapi sayangnya dah ditebang. Kan dah susah aku nak makan sekarang. Nasiblah ada jiran atok yang baik hati tu. Dapatlah cucu atok nie merasa. Kalau tak...dah kempunan dah.

Mengalahkan orang pregnant pulak aku nie. Tapi seyes masam-masam nie semua memang favourite aku daripada kecik-kecik dulu. Semua jenis jeruk aku makan. Mangga muda jangan cakaplah. Kalau dapat mangga muda, sedap gila makan dengan sambal kicap...

Dapat je buah jambu gelas tu aku terus cuci, potong. Lepas tu letak gula dengan garam. Apa lagi makanlah...Sedap ooo...Abah selalu pesan jangan makan masam-masam sebab tak berapa elok untuk otak tapi aku degil...huhu...Sekarang nie je dah tak berapa degil, aku dah kurang jugaklah makan masam-masam nie. Sesekali je...


Lepas dah puas makan, aku buat jeruk. Rendam dalam air panas, toskan. Lepas tu letak gula dan garam. Aku buat hari Ahad malam, hari nie hari Selasa dah meresap rasa gula dan garam dalam jeruk nie.



Disebabkan jeruk dah menjadi so hari nie aku bawa bekal jeruk jambu gelas. Jadi pencuci mulut lepas makan tengahari. Licin kawan-kawan aku makan. Siap suruh bawa lagi esok. Memang tak dapatlah nak bawa lagi sebab dekat rumah aku pun dah habis stok. Yela buah jambu orang bagi kan...Lainlah pokok jambu tu ada dekat rumah aku...Hurmm memang susah nak cari buah jambu nie sekarang. Mana ada jual dekat supermarket. Dekat kampung-kampuang je ada, tu pun macam dah nak dekat tak ada sekarang...huhu...

Sunday 26 May 2013

MEE REBUS

Mee rebus merupakan salah satu makanan kegemaran aku selain daripada mee sup dan mee bandung. Mee kari aku tak berapa minat sangat. Dulu, dekat sekolah menengah waktu rehat je memang aku cari mee rebus sebab mee rebus makcik kantin tu memang sedap. Kuah dia memang pekat, manis...pendek kata memang superb la mee rebus makcik nie...

So, hari nie aku nak share resepi mee rebus tapi bukanlah mee rebus resepi makcik kantin aku tu. Yang tu tak sempat berguru pun. Resepi mee rebus nie aku ambil daripada mak kawan aku...


Bahan-bahan yang diperlukan :
  • 200 gm mee kuning
  • 500 gm daging-rebus empuk
  • 150 gm lengkuas
  • 200 gm bawang merah
  • 150 gm halia
  • 150 gm bawang putih
  • 150 gm serai
  • 500 gm keledek-direbus dan dikisar
  • 100 gm udang kering-dikisar
  • 150 gm taucu
  • rempah kari
  • minyak masak
  • garam, gula, serbuk perasa

( kadang2 aku tak ikut pun berapa gm tu semua, aku main agak2 je ikut banyak mana nak buat. Macam pic kat atas tu aku main agak2 je, tak ikut pun sukatan )

Cara membuat :
  • Kisar lengkuas, bawang merah, halia, bawang putih dan serai. Tumis hingga wangi
  • Masukkan udang kering dan taucu
  • Masukkan rempah kari 
  • Masukkan air rebusan daging
  • Masukkan keledek yang dikisar, gula, garam dan serbuk perasa
  • Dah mendidih bolehlah dihidangkan bersama dengan mee yang telah dicelur
  • Hiaskan dengan cili, telur rebus, limau kasturi, daun sup dan bawang goreng. Siap untuk dimakan





Friday 24 May 2013

ADAB BERJIRAN

Salam Jumaat...

Jiran merupakan orang yang paling hampir dengan kita. Jika berlaku sesuatu perkara yang buruk, jiranlah orang pertama mengetahui dan menolong sebelum orang lain. Oleh itu hubungan dengan jiran perlu dijaga supaya hidup menjadi tenteram. Ada jiran yang baik dan ada yang cerewet. Ada jiran yang merasa dirinya sentiasa betul manakala orang lain sentiasa salah. Untuk meredakan keadaan, maka perlu ada sifat timbang rasa di kalangan mereka yang hidup berjiran.

Pic drp google

Adab khusus berjiran:
  1. Jangan biasakan mengintai atau melihat ke dalam rumah jiran, atau melihat isterinya atau melihat wanita-wanita yang ada dalam rumah tersebut. Semua itu adalah aurat iaitu aurat dalam rumah dan isteri jiran itu sendiri merupakan aurat. Isteri jiran juga seperti perempuan lain yang tidak boleh direnung dan diamati sebagaimana merenung isteri sendiri.
  2. Tidak memasuki rumahnya tanpa izin. Walaupun telah berjiran sejak sekian lama dan sudah dianggap sebagai satu keluarga, tetapi jiran tetap jiran...tidak boleh diambil ringan dengan bebas keluar masuk rumahnya tanpa keizinannya.
  3. Hendaklah memberi bantuan segera kepada jiran yang ditimpa bencana dan kesusahan. Dalam maksud sebuah hadis: "tidak beriman kepadaku orang yang kenyang sepanjang malam sedangkan jirannya menderita kelaparan."(Riwayat al-Tabrani)
  4. Memberi buah tangan kepada anak-anak jiran atau menyembunyikan apa yang kita bawa masauk ke rumah daripada terlihat olehnya.
  5. Memberi makanan yang masakannya terbau oleh jiran.
  6. Jangan mengganggu atau menghalang kemudahan jiran seperti meletakkan kereta di depan rumahnya atau membina tembok yang menghalang udara masuk ke dalam rumahnya.
  7. Ketika ketiadaannya, menjadi tengggungjawab sosial jiran untuk mengawasi rumahnya.

Jiran sebagaimana maksud hadis Rasulullah SAW ada tiga jenis :

" Jiran tentangga itu ada tiga peringkat. Jiran yang mempunyai satu hak, jiran yang mempunyai dua hak dan   jiran yang mempunyai tiga hak...."

(Riwayat al-Hassan dan al-Bazzar)

Jiran yang mempunyai tiga hak terdiri daripada jiran Muslim yang ada pertalian keluarga. Pertama jiran ini mendapat hak Muslim seperti memberi salam. Hak kedua jiran ini ialah hak kerabat yang memperoleh harta warisan secara faraid. Dan hak ketiganya ialah hak jiran seperti tidak melihat aurat dalam rumahnya dan isterinya. Jiran yang mendapat dua hak merupakan jiran yang terdiri daripada orang Islam. Mereka mendapat hak Muslim dan hak jiran. Seterusnya, jiran yang mendapat satu hak terdiri daripada jiran bukan Islam. Walalupun mereka bukan Islam, mereka tetap mendapat hak jiran.


__________________Prof Surthaman Kastin Hasan________________

Wednesday 22 May 2013

WORDLESS WEDNESDAY # 3


-  rojak petis  -

Monday 20 May 2013

POPIA MINI

Semalam aku merajinkan diri buat popia mini. Rajin buat popia nie pun sebab dapat serunding ikan bilis pemberian seorang kawan. Kalau tekak nak makan tak payah tunggu raya dah...hehehe...Sebelum start buat popia tu semangat kerajinan meluap-luap. Tapi sayangnya semangat kerajinan tu tak kekal lama, sekerat jalan je. Agak-agak dapat dapat sebalang aku pun stop. Simpan baki kulit popia dan juga baki serunding ikan bilis dalam fridge. Hangat-hangat tahi ayam je kan...Buat kerja sekerat jalan. Sila jangan contohi sikap sebegini....



Inilah hasilnya...dapat sebalang lebih sebenarnya. Yang lebih tu dah tak ada sebab sambil masukkan dalam balang sambil masukkan dalam mulut, tu yang tinggal sebalang je. Nampak tak popia aku yang bercampur tu?? Asalnya aku buat popia simpul. Kulit popia asyik putus-putus je bila disimpul. Macam nak nangis pulak bila tak boleh simpul. Sebelum apa-apa terjadi, aku tukar buat popia gulung...

Bagi aku yang tak biasa, kerja membuat popia mini nie susah dan leceh jugaklah. Kena banyak bersabar. Kalau tak bersabar jadilah macam aku...huhu...Proses aku membuat popia mini nie memakan masa berjam-jam jugaklah walaupun sebalang. Kalau orang tak PRO macam nie lah kan...

Proses membuat popia berjam-jam tapi proses memakan popia lagi cepat daripada proses membuat popia...Malam tadi sambil tengok Bintang Mencari Bintang tak sedar dah habis sebalang. Tu baru 2 perut je...Tengok, tak sempat nak simpan esok-esok dah. Nak buat lagi? Rasanya tak kot dalam masa terdekat...aku tak larat. Hari nie je dah sakit belakang dan sakit tengkuk sebab lama sangat duduk mengadap popia. Baki kulit popia ada lagi, nasib baik belum dipotong. Bolehlah esok-esok buat popia besar pulak. Tu senang sikit tak rumit...


Saturday 18 May 2013

KEPAK 2013

KEPAK?? Bukan kepak ayam ok. KEPAK yang aku maksudkan ialah Karnival Kerjaya Perniagaan Kemahiran (KEPAK). Sebenarnya tadi aku pergi Plaza Angsana ingat nak tengok-tengok kain ela untuk dibuat baju raya. Tengok-tengok ada karnival kerjaya. Aku apa pun tak bawa. So, tengok-tengok jelah...Aku pun tak perasan sangat berapa booth yang dibuka sebab misi aku nak cari kain ooo bukan nak cari kerja. Sesiapa yang duduk Johor yang rasa-rasa berminat untuk intai-intai peluang pekerjaan bolehlah berkunjung ke KEPAK@Plaza Angsana esok. Esok hari last wokeyy...


Stop cerita pasal KEPAK...Kita berbalik kepada tujuan asal aku ke Plaza Angsana. Tujuan aku sana kan nak cari kain ela untuk dibuat baju raya. Walaupun ada lagi beberapa bulan nak raya tapi kenalah cari awal-awal. Nak dijahitkan, bukannya aku beli yang dah siap ok. Masuk Kamdar tak ada yang berkenan. Ada yang berkenan mahal  la pulak, lari daripada bajet...huhu...Akhirnya aku pergi ke Jakel Bandar Baru Uda. Sebelah Angsana je. Ni tempat baru coz sebelum nie tempat lama dekat Taman Tampoi  Indah. 


Aku mencari kain ela untuk abah dan adik-adik aku. Untuk emak hari tu dah beli. Untuk aku belum cari lagi. Jarang kita orang beli yang dah siap. Lebih selesa buat. Tak hantar kedai pun sebab mak yang jahit. Mak memang ambil upah menjahit daripada dulu lagi tapi sekarang mak dah malas nak ambil tempahan. Jahit baju untuk anak-anak je. 

Dekat Jakel jumpalah kain yang aku berkenan selari dengan kemampuan. 20 meter semuanya. Ingat nak buat boria satu warna semunya tapi adik-adik aku tak suka. So belilah warna sebarang, harap diorang berkenan...tak berkenan beli sendirilah, takda sponsor lagi dah...

Rambang mata aku kat situ lama-lama. Sebelum mata aku berpinar dengan kain-kain tu semua baiklah aku balik segera. Takut lain yang dirancang lain yang dibeli. Kena rancang kewangan...hehe...Dekat sini pekerjanya ramah, layanan pun bagus tapi rimas ooo. Ramai sangat pekerja diorang. Nak cari kain pun rasa tak selesa sebab pekerja dia asyik ikut dan perhatikan aku je...huhu...

p/s : letih dan mengantuk. hari nie tak sempat blogwalking...insyaallah esok aku akan blogwalking...

Friday 17 May 2013

KEJADIAN MANUSIA

Setiap ciptaan Allah SWT di bumi ini merupakan ciptaan yang sempurna. Manusia sebagai ciptaan yang besar dalam kalangan makhluknya yang dilengkapi kejadiannya dengan kesempurnaan jasad, akal dan hati. Allah SWT melengkapkan manusia dengan anggota tubuh badan yang mengandungi pancaindera dan tulang empat kerat untuk mengupayakan diri; akal untuk memikirkan sesuatu yang logik dan baik; dan hati sebagai alat timbang tara dan perasaan.

Semua manusia ialah keturunan manusia pertama yang diciptakan Allah SWT iaitu Nabi Adam a.s. Daripada Nabi Adamlah lahirnya pelbagai bangsa dan pelbagai warna kulit yang menduduki pelbagai negara. Kedudukan geografi menjadikan manusia itu berbeza antara satu dengan yang lain. Sedangkan asalnya sama iaitu daripada Nabi Adam a.s. yang dijadikan daripada tanah sepertimana firman Allah yang bemaksud :

" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang dibentuk."

 (Surah al Hijr 15:26)

Kejadian manusia daripada tanah hanya khusus kepada Nabi Adam a.s. sahaja. Sebenarnya ada dua lagi kejadian manusia yang menyamai kejadian Adam iaitu Hawa daripada tulang rusuk Nabi Adam a.s. dan Nabi Isa a.s. daripada ibu sahaja tanpa bapa. Manakala manusia lain tercipta melalui pasangan suami isteri (ibu bapa) seperti mana firmannya yang bermaksud :

"Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu kami bungkus dengan daging. Kemudian kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk). Maka maha suci Allah, Pencipta yang paling baik."

(Surah al-Mu'minun 23:14)

Oleh sebab kejadian manusia sama iaitu daripada air mani dan semuanya berketurunan Nabi Adam a.s. maka mereka berada dalam kedudukan yang sama. Taraf manusia sama, tiada yang mulia dan hina walaupun berbeza warna kulit dan bangsa. Tiada golongan yang berkulit putih atau yang berbangsa Arab itu lebih mulia daripada yang berkulit hitam atau 'ajam. Kemuliaannya hanya ketentuan Allah dan bergantung pada eratnya hubungan dan imannya kepada Allah SWT.


____________Prof Surthaman Kastin Hasan____________

Wednesday 15 May 2013

AKU BUKAN CIKGU

Dulu kecik-kecik bila cikgu tanya nanti dah besar nak jadi apa, jawapan aku "saya nak jadi cikgu". Daripada darjah 1 sampai darjah 6 itulah cita-cita aku. Kebanyakkan kawan-kawan sekelas aku pun cita-citanya sama, nak jadi cikgu. Mungkin disebabkan faktor persekitaran. Adalah beberapa orang yang nak jadi doktor, saintis. Tak kurang juga ada yang nak jadi penyanyi tapi sampai sekarang, tunggu punya tunggu tak ada pulak kawan aku  tu buat album. Kalau tak boleh minta sign...hehe...

Masuk sekolah menengah dah ada dua cita-cita pulak. Nak jadi cikgu dengan peguam. Tapi kerjaya peguam   kena lupakan sebab Bahasa Inggeris aku masa SPM 3B. Lepas tu Muet pun tak dapat band 4, band 5. Memang aku tak mohonlah jurusan undang-undang.  So aku pun mohon kursus perguruan. Tapi tak sangkut juga. Aku tak dapat tawaran kursus perguruan pun masa kat universiti, aku dapat kursus lain...

Habis belajar, aku ada juga mohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI)...Dah 2 kali aku amik ujian Malaysian Teacher Selection Test (MTeST) tapi tak lepas-lepas. Nampak sangat aku tak layak nak jadi cikgu agaknya. Ujian bertulis pun dah tak lepas. Mungkin bukan rezeki aku nak jadi cikgu. Mungkin rezeki aku untuk pekerjaan lain. Tapi kalau KPLI buka pengambilan lepas nie aku nak cuba lagi...Manalah tahu ada rezeki kan...hehe...

Pada aku bukan senang nak jadi cikgu sebenarnya. Hanya mereka yang terpilih sahaja yang layak mendidik anak bangsa. Tanggungjawab cikgu besar, perlukan kesabaran yang tinggi lebih-lebih lagi pada zaman yang mencabar sekarang nie. Budak-budak sekarang lebih advance serba serbi. 

Kalau zaman aku sekolah dulu, kami semua tak berani nak lawan cakap cikgu. Cikgu marah pun diam je, tak berani nak tengok muka cikgu. Kalau kena cubit, kena rotan mak bapak cuma cakap bagus, siapa suruh tak ikut cakap cikgu. Zaman sekarang? kebanyakkan pelajar dah berani lawan cakap cikgu, ada yang berani pukul cikgu. Bila kena marah, kena cuit sikit..mak bapak pulak datang sekolah serang cikgu. Macam-macam cabaran dan dugaan seorang cikgu.

Sempena hari guru esok aku nak ucapkan selamat hari guru kepada guru-guru yang pernah mendidik aku. Jasa dan pengorbanan cikgu tak ternilai harganya. Hanya allah yang dapat membalasnya. Tak lupa juga selamat hari guru kepada sahabat-sahabat yang bergelar guru. Semoga Allah merahmati usaha dan niat murni anda...Insyaallah...



Monday 13 May 2013

BARU NAK GANTI

Hari nie hari pertama ganti puasa. Alhamdulillah selesai satu hari. Dah masuk bulan Rejab baru terhegeh-hegeh nak ganti puasa...huhu... Mencabar sungguh rasanya hari nie. Lunch hour je aku terus masuk surau, tidur sekejap. Teruk bebenor perangai mengalahkan budak kecik. 

Balik singgah kedai makan. Terpikir-pikir nak makan apa. Last-last beli nasi beryani. Amik ayam masak merah, daging, dalca, acar timun. Balik rumah buat air. Bila puasa macam-macam air nak minum. Akhirnya aku buat 3 jenis air, semuanya kurang gula. 

Aku suka buat air laici letak cincau...best, sejuk je rasa...Korang yang tak pernah cuba bolehlah cuba. Potong cincau, letak air gula, letak laici, letak ais...siap.




Nasi beryani dengan nasi minyak aku tak tahu apa bezanya. Macam sama je. Entahlah...aku tahu makan je. Haaa...pic nasi dekat atas tu bukan aku makan sorang. Aku makan berdua dengan adik aku. Letak dalam dulang lepas tu makan. Kitaoang memang suka makan dalam dulang especially kalau makan nasi minyak ataupun nasi ambeng.

Daripada kecik dah biasa makan dalam dulang so sekarang bila dah besar-besar nie sesekali tu ada jugaklah makan dalam dulang. Best makan berebut-rebut. Lagi best tak payah nak basuh pinggan mangkuk banyak-banyak. Nampak sangat pemalas aku nie kan.

Aku rasa dekat Johor nie makan dalam dulang tu perkara biasa kot especially bila makan nasi ambeng dekat rumah kenduri ataupun time maulud nabi. Dekat kampung aku amalan nie masih wujud lagi...


Sunday 12 May 2013

OHH IBU...

Ingatan kepada ibu tidak semestinya pada hari ibu sahaja kerana ingatan kepada ibu telah menjadi satu kemestian secara semulajadi. Apa yang pasti sambutan hari ibu akan menebalkan lagi ingatan kita kepada ibu kita.

Selamat hari ibu buat insan yang bergelar ibu di seluruh dunia. Tanpa mereka kita tak mampu melihat dunia & kenal erti kehidupan. Khusus buat nenek yang melahirkan emak & seterusnya melahirkan aku ke muka bumi ini untuk melihat segala keindahan & kesempurnaan ciptaannya diucapkan terima kasih atas segala-galanya.

Biarpun hidup tak seindah yang disangka dan tak sesusah yang diduga, terima kasih atas semuanya, yang tak mungkin terbalas dengan segunung permata. Moga kita diberi peluang & ruang untuk lebih mengerat & saling mengenali begitu pentingnya hidup dalam ikatan penuh bahagia. Selamat Hari Ibu, Ibu ratu hatiku...


Tiada aku tanpa ibu
Hanya kau satu di dunia
Bertakhta dikau dijiwaku
Kaulah ibu yang tercinta

Kau insan pengasih
Betapaku mengharap
Hadir dan restumu ibu
Membawaku kesyurga


Ini adalah antara lirik lagu Belaian Ibu nyanyian Hijjaz...Nak dengan bolehlah cari...

Thursday 9 May 2013

CIK TI DATANG TANPA DIUNDANG

Dalam beberapa hari nie tidur aku sedikit terganggu dengan bunyi bising dekat dapur. Aku tak syak pun tikus sebenarnya sebab aku ingatkan cicak. Cicak dekat rumah aku pun boleh tahan besarnya, tahap bapa cicak semuanya. 

Bila aku buat sport check memang confirm lah kerja tikus. Habis hujung tudung tupperware kena gigit. Takkanlah kerja bapa cicak pulakkan. Mau bankrap kita semua kalau cicak dah pandai makan tupperwere. Habis barang-barang dekat rumah macam tu...

Andaian aku yang tu semua kerja tikus adalah betul sebab aku dah teserempak pun. Besar gila, meremang bulu roma tengok...huhu...So, untuk tidak membiarkan tikus tersebut bermaharajalela dan beranak pinak, aku akan membeli perangkap tikus balik kerja nanti. Dengan itu pada malam ini akan bermulalah operasi memerangkap cik ti...

Member dekat tempat kerja bagitahu kalau nak halau tikus guna daun pokok durian belanda. Boleh nak cuba tapi dekat mana pulaklah aku nak mencari daun pokok tu kan...next time lah cuba cara tu. Hari nie aku dah nekad nak beli perangkap tikus. Kalau guna racun tikus lagi susah nak cari dekat mana bangkai tikus tu nanti. Satu kerja pulak dah..
.
takda makna nak berparty dekat rumah aku lepas ni...

Wednesday 8 May 2013

INILAH AKU...

Setiap hari inilah azam aku...Semangat tu...


Beberapa jam kemudian jadilah macam nie...Lagi tak tahan bila tengok iklan makanan...


Akhirnya...
Apa lagi...
Makan, makan & makan...
Azam yang dibuat entah kemana...


Esoknya buat lagi azam baru...


Macam tu lah aku selalunya... 
Mak & kawan2 dah bosan kot dengar azam aku yg satu nie...
Semangat bukan main tapi buatnya tidak...
Asyik bertangguh...
Esok, esok & esok...

Monday 6 May 2013

TAMAT SUDAH......

Salam Isnin semua. Mata agak mengantuk di awal pagi nie. Tak cukup tidur menunggu keputusan penuh Pilihan Raya Umum (PRU) malam tadi, lambat sangat. Kalau tak ada apa2 hal, biasanya pukul 11 aku dah  masuk tidur. PRU punya pasal aku gagahkan diri di depan tv. Amik kau...pagi2 lagi aku dah pegi pantry buat secawan kopi.

Semoga menjelang tengahari & petang aku tak jadi seperti ini...

Tamat sudah PRU 13 dengan mandat untuk mentadbir negara diberi kepada Barisan Nasional (BN).  Tahniah kepada BN. Tahniah kepada yang berjaya. Yang kurang berjaya boleh cuba lagi dalam PRU akan datang. Kepada wakil rakyat semua, i'm watching your performance. Semoga janji ditepati. Kepada kawan2 semua, jangan mudah terpengaruh dengan unsur2 yang tidak berfaedah yang akan membuatkan kita jadi tidak berpuas hati dengan kehidupan kita...

Jom hayati lirik lagu nie

anak kecil main api
terbakar hatinya yg sepi
air mata darah bercampur keringat
bumi dipijak milik orang

nenek moyang kaya raya
tergadai seluruh harta benda
akibat sengketa antara kita
cinta lenyap di arus zaman

indahnya bumi kita
warisan berkurun lamanya
hasil mengalir ke tangan yang lain
kita kan merintih sendiri

jangan buang waktu lagi
majulah raih sebuah mimpi
hapuskan sengketa teruskan usaha
kita kan gagah dinusantara (3x)
kita kan gagah dipentas dunia

Sekian...Aku nak buat kerja. Bersama ke arah mutu kerja yang lebih baik...PEACE ^-^

Friday 3 May 2013

HADIAH DRP LISASHEILA

Terima kasih Lisa untuk mutiara tasbih itu...Sangat berharga pemberianmu... Insyaallah akan digunakan sebaik mungkin...



Jom kawan-kawan berkunjung ke blog lisasheila 


Kehidupan di dunia ini tidak menjanjikan satu jaminan yang berkekalan. Apa yang ada hanyalah percubaan, cabaran & pelbagai peluang. Jaminan yang kekal abadi hanya dapat ditemui apabila kita kembali semula kepada ilahi. Kata2 ini aku ambil daripada.......tak ingat...renungan di hari jumaat.

Thursday 2 May 2013

DUIT...DUIT...DUIT...

Tadi masa nak keluar lunch aku terjumpa duit dekat kaki lima kedai. Aku ingatkan kertas warna berlipat tapi rupa-rupanya duit kertas. RM20 tu...Nilai yang banyak untuk orang yang tak ada duit. Kalau orang berduit, RM20 takda hal lah kot. 

Bila aku pikir-pikir, kesian orang yang tercicir duit nie. Kot lah dalam wallet dia ada RM20 je...dah tak ada duit nak makan tengah hari. Sekarang duit RM20 tu ada dalam simpanan aku. Mungkin esok lusa aku akan letak dalam tabung masjid. Kalau rasa-rasa duit ini korang yang punya pm lah aku ok...hehe... 


Terlanjur bercerita tentang duit, aku pernah berdepan situasi tak ada duit masa mula-mula cari kerja dulu. Bukanlah tak ada duit sampi 0 sen. Duit ada tapi tinggal dalam beberapa ringgit je. Nak beli makanan pun bercatu. Pergi kedai, pegang barang lepas tu letak barang balik. Teragak-agak nak beli sebab duit nipis. Lainlah duit banyak ambil apa pun tak kisah. Masa tu aku rasa lebih susah daripada masa belajar sebab masa belajar semua cukup. Aku ada duit biasiswa, tak cukup duit biasiswa aku telefon mak abah mintak duit.

Dah habis belajar takkan lah nak mintak duit diorang lagi kan. Sebenarya sebelum tu abah dah bagi aku duit poket untuk cari kerja tapi tak cukup. Nak telefon lagi malu, yelah kerja tak dapat lagi lepas tu nak minta duit lagi. Malu arr. Nak pinjam Along? gila apa, tak pasal-pasal kena potong kepala. Nasiblah kawan aku prihatin, dia bagi pinjam duit. Aku tak minta tapi dia faham kot tengok muka aku yang sedih je...huhu...malu...Dahlah duduk rumah dia, duit poket aku pun dia bantu. Alhamdulillah lepas dapat kerja langsai dah hutang piutang aku dengan dia.

Bila ingat masa tu aku insaf. Sebab tu sekarang bila dah bekerja dan dah ada duit aku beringat.Tak nak huhahuha sangat. Pentingkan yang penting je macam makanan...hehe...makanan tu penting bagi aku lah. Zaman sekarang duit mengalir macam air. Kalau tak berjimat belum cukup bulan dah kering. Kena pandai-pandailah rancang kewangan. Yang penting duit kita kena berkat. "Rezeki yang berkat, sedikitnya cukup, banyaknya sehingga kita boleh memberi" Ustaz Pahrol Juoi.

Zaman ini zaman duit
Tak ada duit diri tersepit
Tapi jangan jadi hamba duit
Nanti musnah diri sendiri....
Lirik lagu apa nie? cer teka...hehe...