Thursday 30 May 2013

TAKDIR : TELADAN SIKAP YANG SALAH & BETUL


KISAH 1 : TERSERAHLAH PADA TAKDIR

Pada suatu malam setelah solat isyak Rasulullah s.a.w. masuk ke rumah Ali r.a. Pada waktu itu dilihatnya Saidina Ali sudah masuk tidur lebih awal, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda :

Alangkah baiknya kalau kamu bangun pada sebahagian waktu malam (untuk melakukan solat sunat). Saidina Ali r.a. menjawab, " Ya Rasulullah, diri kita semua dalam genggaman kekuasaan Allah. Jika berkehendak, maka dilimpahkan kerahmatannya. Dan jika dia berkehendak sebaliknya maka ditarik balik rahmat itu ". Mendengar jawapan itu Rasulullah s.a.w. kelihatan marah lalu keluar sambil memukul-mukul pehanya dan bersabda: sesungguhnya manusia itu amat banyak dalihnya.

KISAH 2 : SUDAH DITAKDIRKAN

Pada zaman pemerintahan Saidina Umar Bin Al Khatab r.a. terjadi satu kecurian dan usaha mengesan pencuri dilakukan dengan segera selepas menerima aduan. Tidak lama selepas itu pencuri dapat ditangkap dan dibicarakan.

Saidina Umar r.a. bertanya "mengapa kamu mencuri?" Pencuri itu berterus terang mengakui memang dia  yang mencuri dengan jawapan, "memang Allah telah mentakdir sedemikan ini ke atas diri saya." Saidina Umar r.a. berasa marah mendengar jawapan tersebut lalu menjatuhkan hukuman ke atas pencuri itu, "sebat pencuri ini 30 sebatan dengan cemati. Selepas itu potonglah tangannya."

Orang yang mengikuti perbicaraan itu bertanya, "mengapa hukuman yang dijatuhkan ke atas pencuri ini begitu berat?" Saidina Umar r.a. menjawab "Ya! itulah hukuman yang setimpal. Ia wajib dipotong tangannya kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah s.w.t"

KISAH 3 : MENGHINDARI TAKDIR DENGAN TAKDIR

Abu  Ubaidah Bin Al Jarah pernah bertanya kepada Saidina Umar Bin Al Khatab r.a. sewaktu Saidina Umar r.a. melarikan diri daripada wabak penyakit taun, katanya "mengapa engkau lari dari takdir Allah?" Saidina Umar r.a. menjawab, "betul saya melarikan diri dari takdir Allah untuk pergi kepada takdir Allah pula." Kisah ini menggambarkan bahawa Saidina Umar r.a. menyelamatkan diri dari takdir tibanya wabak penyakit dan mara bahaya dan pergi kepada takdir yang menjamin keselamatan dan kesihatan.

KISAH 4 : RASULULLAH S.A.W. TIDAK MENGALAH KEPADA SATU-SATU TAKDIR

Rasulullah s.a.w dan para sahabat tidak pasrah mengalah kepada satu-satu takdir dengan semangat yang pudar dan keyakinan yang luntur. Baginda tidak berdiam diri untuk tidak mengelakkan bahaya yang dihadapi seperti sikap orang yang lemah dan tidak memahami hakikat takdir Allah s.w.t.

Baginda berasa bertanggungjawab untuk mengubah keadaan dengan menyingkap rahsia disebalik takdir. Baginda berusaha, berjuang, berdoa dan bertawakal kepada Allah s.w.t.  bagi melaksanakan risalahnya iaitu menegakkan Islam dan membanteras kejahilan.

Baginda mendorong umatnya supaya berpindah daripada suatu takdir kepada takdir yang lain seperti takdir kemiskinan dilawan dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Kejahilan dilawan dengan ilmu pengetahuan. Penyakit dilawan dengan rawatan dan ubatan. Kekufuran dilawan dengan jihad. Selanjutnya berdoa kepada Allah s.w.t. supaya dihindari segala penyakit, kesusahan, kelemahan dan kemalasan.

Kejayaan baginda dan para sahabat menyebarkan dan menegakkan Islam adalah berbekalkan semangat tidak mengalah dan berserah pada takdir tanpa berusaha dan berdoa. Baginda sering mengingatkan umatnya agar tidak membuat tafsiran yang salah tentang takdir seperti hadis yang diriwayatkan oleh Jabir r.a., Rasulullah s.a.w bersabda : Akan ada pada akhir zaman satu golongan yang melakukan maksiat kemudian mereka berkata : Allah mentakdirkan perbuatan itu kita lakukan. Orang yang menentang pendapat mereka (yang salah) pada masa itu adalah bagaikan orang yang menghunus pedangnya pada jalan Allah.

8 comments:

  1. jgn mengalah :) perancangan Allah jualah y terbaik :)

    ReplyDelete
  2. takdir boleh diubah dengan berusaha sedaya-upaya dan memperbanyakkan doa..

    ReplyDelete
  3. Syukran atas perkongsian kisah2 ni ipah..lisa suka sgt dgr or baca cerita zaman2 nabi n sahabat ...

    Psstt..ipah..trsilap taip ye bukan Allah saw tp Allah SWT :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. jazakallahu khairan lisa..tersilap taip dan telah dibetulkan..

      Delete
  4. suka ngan kisah2 ni...uni ipon ada cter gak sal takdir ni..nt la uni cter..hehe

    kalo uni lupa kak tlg igtkan aw..hik3

    ReplyDelete
  5. Alhamdulillah..trima kasih atas pkgsian yg mnrik ni..skrg dh akihir zaman..mmg sllu ada ungkapan spt tu..jgnlah brserah pd tkdir smata2..berusahalah utk mgubah tkdir yg xelok kpda lbh baik

    ReplyDelete
  6. betul juga.. kita tak tahu apa yang Allah rancangkan utk kita..maka berusahalah elakkan dari bencana atau apa2..lepas dah usaha.kalau itu yg kta dapat baru namanya takdir..hehe

    ReplyDelete